Europa adalah salah satu bulan Galilea milik Jupiter. Bulan Galilea adalah bulan yang ditemui oleh Galileo Galilei menggunakan teleskop pada awal tahun 1610. Jupiter memiliki empat bulan yang diberi nama Io, Europa, Ganymede, dan Callisto. Europa adalah bulan Galilea terkecil dengan diameter 3000 km atau sedikit lebih kecil dibandingkan bulan milik bumi. Bulan terbesar yang dimiliki Jupiter ialah Callisto.
Europa dinamakan sempena dengan salah seorang isteri Dewa Zeus dalam mitologi Yunani. Nama planet Jupiter sendiri diambil dari nama Zeus dalam versi Romawinya.
Ketika ditemui, Europa membantu mengesahkan bahawa objek besar (planet dan bulan) di sistem suria memiliki graviti mereka sendiri. Fakta ini membantu menolak pandangan geosentris dan menggantikannya dengan kosmologi heliosentris versi Copernicus.
Europa mengorbit Jupiter setiap tiga hari sekali (waktu bumi) pada jarak sekitar dua kali jarak antara bumi dengan bulan. Seperti bulan Galilea yang lain dan bulan planet bumi, Europa terkunci (tidally locked) ke Jupiter, yang bererti sisi yang sama menghadap Jupiter.
Europa terlihat seperti bola putih dengan tompok coklat dan retak di atasnya. Europa terdiri dari batuan silikat serta memiliki lapisan ais nipis yang dipercayai sesetengah ahli sains mungkin menyembunyikan lautan air cecair. Di samping itu, Europa adalah objek besar dalam sistem suria yang mempunyai permukaan yang paling halus.
Oleh kerana berkemungkinan mempunyai air laut, Europa menjadi sasaran yang dicadangkan untuk pendaratan manusia walaupun pelan ini tidak dapat direalisasikan sehingga kini. Bulan lain milik Jupiter yang mungkin mempunyai lautan di bawah permukaannya adalah Ganymede dan Callisto.
Projek "Jupiter Icy Moons Orbiter (Jimo)", yang dilengkapi radar berkemampuan menembusi ais telah dirancang untuk mencari lautan tersebut. Walau bagaimanapun, projek ini telah dibatalkan pada tahun 2005 disebabkan perubahan dalam keutamaan NASA memihak kepada misi manusia. Kapal angkasa projek Jimo ini sebelum dibatalkan dikatakan dilengkapi dengan ciri-ciri inovatif seperti enjin nuklear yang akan memberikan beribu-ribu kali lebih banyak tenaga daripada panel solar dan penjana haba radioelektrik.