ads

27 Oktober 2009

Soal Jawab Pusat Akses

Apakah itu Pusat Akses Sekolah?
Pusat Akses Sekolah mengamalkan konsep ala “cyber cafe” tetapi lebih menjurus kepada pembelajaran. Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan murid membuat pembelajaran secara kendiri (self learning) dan mempelbagaikan gaya pembelajaran mereka. Murid boleh mencari dan memilih sumber pembelajaran secara sendiri mengikut kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri.

Apakah matlamat Pusat Akses Sekolah?
Matlamat Pusat Akses Sekolah ialah untuk:
Membudayakan penggunaan ICT di sekolah
Mengurangkan nisbah komputer dengan murid
Meningkatkan masa penggunaan (contact hours) komputer oleh murid

Apakah objektif Pusat Akses Sekolah?
Objektif Pusat Akses Sekolah ialah untuk:
Meningkatkan kemahiran murid dalam mencapai maklumat
Membolehkan murid melaksanakan pembelajaran kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri dengan lebih berkesan
Meningkatkan penggunaan dan penguasaan kemahiran ICT murid untuk pengajaran dan pembelajaran

Bagaimanakah Pusat Akses Sekolah beroperasi?
Pusat Akses Sekolah beroperasi semasa dan selepas waktu persekolahan. Ia juga digalakkan beroperasi pada hujung minggu dan cuti sekolah dengan syarat ada pengawasan oleh pihak sekolah yang boleh menjamin keselamatan peralatan dan boleh memantau penggunaan.

Apakah aktiviti murid di Pusat Akses Sekolah?
Murid boleh menggunakan Pusat Akses Sekolah ini untuk:
Mencari maklumat daripada Internet untuk pengajaran dan pembelajaran
Mengakses sumber maklumat seperti buku-buku, bahan bercetak atau bahan digital yang berkaitan (e-Learning)
Menyediakan tugasan dan slaid persembahan berkaitan dengan pembelajaran
Berkomunikasi dengan guru dan murid lain melalui e-mel
Berkolaborasi dengan murid lain

Siapa boleh menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah?
Keutamaan menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah diberikan kepada murid. Warga sekolah lain termasuk pentadbir sekolah, guru, dan staf sokongan boleh menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah untuk memperoleh maklumat dari Internet

Apakah peralatan yang akan dibekalkan?
Setiap sekolah akan menerima peralatan 10 komputer dan satu pencetak untuk ditempatkan di perpustakaan atau mana-mana ruang bersesuaian. Peralatan tersebut dirangkaikan dengan rangkaian setempat.

Bilakah Pusat Akses Sekolah akan dipasang di sekolah?
Penubuhan Pusat Akses Sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2006.

Apakah agihan penubuhan Pusat Akses Sekolah?
Agihan penubuhan Pusat Akses Sekolah meliputi 70 peratus sekolah luar bandar dan 30 peratus lagi di bandar. 70 peratus daripada jumlah sekolah yang dipilih merupakan sekolah rendah manakala baki 30 peratus adalah sekolah menengah.

Apakah kriteria pemilihan sekolah untuk mewujudkan Pusat Akses Sekolah?
Pemilihan sekolah bagi mewujudkan Pusat Akses dibuat berdasarkan kriteria berikut:
Ada ruang/bilik yang sesuai
Ada bekalan elektrik 24 jam
Ada akses kepada Internet
Ada Makmal Pengkomputeran
Kemahiran ICT warga sekolah
Komitmen pihak pentadbir sekolah

Apakah bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang boleh didapati di Pusat Akses Sekolah?
Terdapat tiga (3) bahan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam membantu murid ke arah pembelajaran kendiri iaitu akses kendiri, kadar kendiri dan terarah kendiri. Bahan tersebut ialah:
Bahan yang dimuat turun melalui penggunaan enjin pencari maklumat Internet seperti Google, Yahoo, Altavista, dan sebagainya
Portal Pendidikan untuk mendapatkan maklumat khusus seperti portal BTP, MySchoolNet, MyTutor, Online Smart Learning, dan sebagainya
Bahan pembelajaran online seperti sumber digital dalam bentuk CD/VCD/DVD/CD audio seperti perisian kursus, perisian interaktif dan perisian berbentuk maklumat